Halaman

11 February 2012

Karnival Generasi Muda Terengganu Cemerlang Mac ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Karnival Generasi Muda Terengganu Cemerlang 2012 akan bergerak empat daerah pada Mac ini bagi memberi peluang kepada belia mengekspresikan diri serta membuka ruang mengetengahkan kehendak serta bakat golongan itu.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Encik Rusli Yusoff, berkata program anjuran kerajaan negeri menerusi Bahagian Belia dan Sukan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Remaja Terengganu (KRT) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) itu bermula di Kemaman sebelum bergerak ke daerah lain.


Menurutnya, ia bertujuan untuk mendekati golongan belia setempat serta mahu mengekalkan hubungan stategik bersama pertubuhan-pertubuhan belia.

“Langkah ini juga diharapkan dapat dilaksanakan bersama belia setempat dengan tujuan memperkasakan belia seluruh Terengganu.

“Program dilaksanakan secara santai dengan memfokuskan kepada kecenderungan dan pilihan belia, sekaligus menyediakan ruang kepada mereka menonjolkan diri secara sihat dan positif,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, program pertama di Kemaman dijangka pada 6 Mac di Taman Bandar Cukai; manakala keesokannya, 7 Mac di perkarangan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak (Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus).

Manakala pada 13 Mac (Hulu Terengganu)diadakan di Padang Astaka, Kuala Berang, diikuti 14 Mac di Besut.

Beliau berkata, program akan bermula jam 10 pagi melibatkan aktiviti berbentuk sukan, selain pameran dan jualan, manakala pada sebelah malam pula akan diadakan persembahan pentas.

Antara karnival sukan seperti futsal, `Street Soccer 3 on 3’, sepak raga, badminton, bola tampar, ping pong, berbasikal fixie dan permainan ekstrem.

“Pameran peluang kerjaya dan pendidikan, selain pendedahan daripada pelbagai agensi kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh belia,” katanya.

Selain itu, kumpulan muzik pop kreatif tersohor dari Indonesia, Wali Band turut dijemput untuk mengadakan konsert jelajah di empat daerah sempena program itu.