Halaman

06 February 2012

“Hadiah” buat penduduk Rhu Rendang

Menteri Besar gembira selepas mendengar penjelasan mengenai penganjuran kejohanan “DR 4 x 4 Ranggok” peringkat antarabangsa bermula dari 9 Mac hingga 11 Mac depan di tapak lokasi di Marang. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman

“Hadiah” berupa trek lumba motor cross menunggu penduduk Rhu Rendang jika pengundi di kawasan berkenaan memilih calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata projek pembinaan trek lumba motor cross di Kampung Gong Cempedak, Jalan Batangan, akan diteruskan jika kawasan tersebut yang sejak sekian lama dikuasai Pas, dimenangi BN pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, kawasan itu akan dibangunkan sebagai litar tetap kejohanan lumba motor lasak yang akan menarik orang ramai setiap kali program diadakan di situ.

“Jika kawasan ini dimajukan, penduduk Rhu Rendang akan mendapat banyak faedah di segi peluang pekerjaan, termasuk membuka ruang niaga kerana kawasan ini akan menjadi lokasi kejohanan sukan lasak seperti motor cross, pacuan empat roda dan scrambler,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan di kawasan itu yang akan dijadikan lokasi kejohanan “DR 4 x 4 Ranggok” peringkat antarabangsa bermula dari 9 Mac hingga 11 Mac depan.

Kira-kira 1,800 peserta, termasuk dari luar negara akan menyertai kejohanan terbabit yang melibatkan perlumbaan motor cross, 4 x 4 dan mountain bike, yang bertujuan menarik pelancong ke negeri ini.

Selain itu, Menteri Besar berkata, lebih banyak projek pembangunan akan dilaksanakan kerajaan negeri jika BN dapat merampas semula kawasan DUN tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita mahu laksanakan banyak projek di kawasan ini, tetapi penduduk mestilah menunjukkan sokongan kepada kerajaan supaya kita dapat membantu mereka,” katanya.