Halaman

26 February 2012

DAP mahu menang besar tanda zaman kejatuhan PAS bermula

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI
Gambar oleh Nurul Azeila Saberi


Panji-panji ‘parasit’ dalam PAS sedang berarak menuju zaman kejatuhannya manakala DAP akan menang besar pada Pilihanraya Umum ke-13, itu ramalan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr. Hasan Ali.

Di sebalik kemenangan itu kata beliau, PAS yang sudah hilang sokongan orang Melayu dan Islam meneruskan sisa perjuangannya dengan simpati rakan sekutunya yang disifatkannya lebih berkuasa iaitu DAP dan PKR.

Dalam konteks Selangor jelasnya, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu yang diwakili DAP dan PKR akan terus bertahan pada PRU 13, malah mungkin ada yang menang dengan majoriti lebih besar.

“PAS akan jatuh merudum dan menjunam kerana ahli-ahli sudah hilang keyakinan serta kepercayaan untuk menuju sebuah Negara Islam,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Perhimpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah di Taman Bandar Chukai, Kemaman malam tadi.

Dihadapan kira-kira 12,000 hadirin kata Dr. Hasan, PAS yang sudah meninggalkan agenda Negara Islam itu dilihat sudah tergelincir hingga sanggup menjadi kuda tunggangan kepada seorang pemimpin yang memperjuangkan keselamatan negara Israel.

“Pas sanggup berkerjasama dengan Ketua Umum PKR (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) yang telah mengiktiraf Israel dan juga seorang pemimpin yang mempunyai pelbagai rekod jenayah moral yang amat buruk,” katanya.

Apa yang dikesali tambahnya, PAS terpaksa menerima risiko berkenaan (menerima kekalahan besar) ekoran parti itu telah lari daripada prinsip perjuangan asal kepada memperjuangkan negara kebajikan.

“Semua pemimpin dan ahli PAS perlu sedar perkara ini dan perlu keluar daripada pakatan pembangkang dan kembali kepada matlamat perjuangan asal untuk membentuk sebuah negara Islam,” katanya.

Hasan berkata, beliau amat sedih apabila melihat PAS yang terpalit dan terpaksa menanggung malu terhadap setiap salah laku yang dilakukan oleh pemimpin parti lain dalam Pakatan Rakyat termasuk pelbagai kesalahan yang melibatkan moral.

“Sebagai contoh, jika ada pemimpin DAP atau PKR ditangkap khalwat, PAS akan menanggung malu terhadap perbuatan mereka ini kerana berada dalam Pakatan Rakyat.

"Saya berharap seluruh kepimpinan PAS di Terengganu untuk berfikir kembali samada perlukah mereka terus berkompromi dengan DAP yang terang-terang menentang Islam dan perlukah PAS terus terpalit dengan masalah yang dilakukan DAP serta PKR,” soal beliau.