Halaman

03 February 2012

Batu Burok berubah wajah jika pilih BN


Oleh; Esah Abdullah

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok akan berubah wajah jika Barisan Nasional berjaya memenangi kawasan tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ketika mengumumkan perkara itu, berkata kerajaan negeri akan membina 1,000 unit rumah untuk rakyat di DUN Batu Burok jika BN menang kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Batu Burok di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Budiman, Kuala Terengganu petang ini.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah mengenal pasti kawasan berpaya bagi pembinaan rumah berkenaan dengan kos pengambilan balik tanah menelan belanja berjuta ringgit.

“Kerajaan BN tidak pernah berbohong dan kita akan kotakan segala janji,” katanya.
Katanya, tahun ini kerajaan tambah peruntukkan bagi bantuan baiki rumah atap biru kepada RM1 juta bagi setiap DUN berbanding tahun sebelumnya RM60,000 setiap DUN.


“Apa lagi yang kerajaan tidak bantu rakyat, semuanya telah beri malah penduduk di sini (Batu Burok) lebih ramai yang terima bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) iaitu 7,311 orang berbanding DUN lain dalam Parlimen Kuala Terengganu,” katanya.

Tambahnya, rakyat perlu bersyukur apa yang diterima dan terima kasih kepada yang memberi dan pilihlah BN agar masyarakat terus terbela.