Halaman

09 February 2012

176 isteri Pengerusi JKKK Daerah Besut berkursus



Dr Wan Halim ketika berinteraksi dengan peserta

Oleh: Mohammad Ishak


Bukan sahaja Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sahaja yang sering dipilih mengikuti pelbagai kursus bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan teknik menjadi pemimpin sebaliknya isteri mereka juga tidak terkecuali diberi kursus oleh pihak kerajaan.

Terbaru isteri Pengerusi,Setiusaha JKKK Daerah Besut, terpaksa mengikuti jejak suami mereka yang menjadi pemimpin komuniti apabila dipilih mengikuti bengkel “Ibu Kampung” bertujuan menyediakan kemahiran pendampingan dengan masyarakat.

Seramai 176 peserta menyertai bengkel sehari anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang berlangsung di Bukit Keluang Beach Resort, Besut, hari ini.

Bengkel pertama kali diadakan oleh YPKT itu dirasmikan oleh isteri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar ( Hajah Azizah N Omar) yang juga ADUN Kuala Besut.

Peserta mendapat bimbingan Pakar Sosiologi Klinikal, Datuk Dr Wan Halim Othman, yang arif dalam bidang kekeluargaan dan komuniti.

Sepanjang mengikuti bengkel itu peserta dibagikan kepada beberapa kumpulan bagi memudahkan penceramah menyampaikan mesej melalui kumpulan berkenaan.

Antara slot yang dibincangkan termasuklah Jati Diri Isteri Pemimpin Komuniti, Pendampingan Dalam Keluarga dan sesi soal jawab bersama Dr Wan Halim.

Pengarah YPK, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, daerah Besut adalah program terakhir mengadakan bengkel seumpama itu dan ia menjadi peserta paling ramai di Terengganu yang menghadiri bengkel berkenaan.