Halaman

30 January 2012

Usah salahguna BB1M

Oleh: Aida Abd Rahman



Seluruh rakyat di negara kita tanpa mengira latar belakang, taraf kehidupan dan peringkat usia mendapat tempias serta nikmat daripada pembangunan tanpa batasan yang dilaksanakan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Selain Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedang rancak disalurkan kepada rakyat yang berhak dan menepati syarat permohonan, pelajar Tingkatan Enam, Matrikulasi, Asasi, Politeknik dan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta juga mendapat tempiasnya apabila mereka diberi bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M).

Baucar yang diumumkan Perdana Menteri , Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2012 itu bertujuan membantu pelajar membeli pelbagai bahan bacaan yang berfaedah untuk kegunaan pembelajaran kumpulan itu, mula diagihkan sejak 1 Januari dan sah digunakan sehingga 31 Mac ini.



Menurut sumber Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kerajaan mencadangkan RM260 juta untuk bantuan ini kepada kira-kira 1.3 juta pelajar seluruh negara.



Sedang kebanyakan pelajar ini bersyukur dan seronok dengan pemberian kerajaan berjumlah RM200 itu, ada pula segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan `mengaut keuntungan atas angin’.

Terbaru, polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki membeli sekurang-kurangnya 113 baucar tunai daripada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah. Mereka dikatakan menawarkan baucar itu dengan pertukaran RM180 dan baki RM20 lagi adalah keuntungan mereka.

Jika dihitung dengan jumlah baucar 113 keping, suspek mampu memperolehi kira-kira RM2,260 hasil kegiatan tidak bermoral itu. Namun nilai itu juga harus dibayar dengan mereka perlu dibawa kepada muka pengadilan dan disiasat mengikut Seksyen 403 kanun Keseksaan kerana kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.

Mereka yang disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun, denda dan sebatan.

Suspek yang memiliki kedai buku di ibu kota dikatakan menggunakan modus operandi membeli baucar dengan menemui pelajar secara terbuka dan menukarkan baucar itu semula dengan pihak lain dan menggunakan alasan pelajar menjual baucar buku daripada kedai mereka.

Demikian satu kes yang memperlihatkan manusia mudah hilang pertimbangan kerana mahu mengaut keuntungan dengan cepat serta sanggup mengambil risiko memperjudikan masa depan dengan melakukan jenayah.

Dari sisi lainnya, mereka mungkin merasakan kegiatan yang salah itu tidak akan terbongkar kerana pelajar lebih berminat mendapatkan `wang segera’ berbanding menukarkannya dengan bahan bacaan, sekaligus mampu menutup mulut pelajar terlibat sementara mereka meneruskan aktiviti tidak bermoral itu tanpa dapat dihidu pihak luar.

Malah, kegiatan pelajar menjual dan melelong BB1M di internet dan laman web, facebook serta mudah.com juga turut dikesan berleluasa sejak BB1M mula berada di tangan pelajar terlibat.

Sebagai contoh satu kes yang dikesan menerusi mudah.com umpamanya, pelajar terbabit tanpa berselindung, menawarkan baucar serta memaparkan gambar empat keping baucar yang setiap satu bernilai RM50 beserta sedikit kenyataan .. ` saye tak menggunakan baucar ni..saye lebih memerlukan duit dari menggunakan baucar ini.so kepada sesiapa yang berminat dengan Baucar Buku 1Malaysia yang berjumlah rm200,saye ingin menjual baucar ini dengan harga rm180 tunai.Harge boleh kurang lagi.Nego.Tarikh luput baucar adalah 31/3/2012..contact me 013-########’

Mereka sepatutnya menyempurnakan amanah itu dengan sebaiknya dan tidak sesekali menyalah gunakannya termasuk menukar baucar dengan wang tunai untuk tujuan lain yang tidak berfaedah.

Pun begitu, setiap IPT sudah menetapkan garis panduan yang jelas dan tepat untuk dipatuhi pelajar mengenai proses percetakan, penerimaan, pembayaran mahupun tatacara penggunaan BB1M.

Kandungan tatacaranya antara lain menjelaskan baucer ini adalah untuk pembelian buku - buku akademik, jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing.

Selain itu, pelajar boleh menggunakan baucar ini di mana-mana kedai buku yang menyertai pelaksanaan inisiatif ini.

Pada masa yang sama, mereka perlulah mengisi nama dan kad pengenalan di baucar dan menunjukkan kad pengenalan ketika menggunakan baucar ini;

Jika amaun pembelian adalah kurang daripada RM200, pelajar dibenarkan membeli peralatan pembelajaran seperti buku catatan dan alat tulis. Malah, baki baucar yang tidak habis digunakan dianggap luput dan tidak boleh dituntut.

Jika amaun yang dibeli melebihi RM200, pelajar perlu membayar sendiri dan tidak boleh membuat tuntutan tambahan kepada Kerajaan dan baucar yang diterima tidak boleh ditukarkan dalam bentuk wang tunai.