Halaman

16 January 2012

UniSZA lancar produk makanan baru



Oleh FAUZI MOHD

Jangan terkejut kalau selepas ini makanan segera seperti burger, sosej dan sandwic tidak lagi diperbuat daripada daging atau ikan seperti lazimnya.

Sebaliknya ia dihasilkan produk berasaskan sayuran seperti ubi keledek, hampas kelapa, ubi kentang dan sayuran lain yang rasanya lebih enak selain menjamin kesihatan penggemarnya daripada terkena pelbagai penyakit kronik khususnya barah dan obesiti.

Produk makanan segera dengan ramuan baharu itu dicipta hasil kreativiti pelajar Fakulti Teknologi Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Dekan fakulti itu, Prof. Dr. Che Abdullah Abu Bakar berkata, makanan seumpama itu dihasilkan daripada bahan mentah berupa sayuran tempatan yang bersih daripada sebarang campuran yang boleh memudaratkan sehingga mengundang penyakit.



Beliau menjelaskan, makanan berasaskan sayuran itu juga mengandungi kadar serat tinggi yang boleh membantu pengguna dari segi kesihatan.

“Peringkat awal, kita adakan pertandingan hari ini yang disertai enam kumpulan pelajar dari Fakulti Teknologi Makanan UniSZA yang menghidangkan produk makanan segera berasaskan sayuran.

“Kita percaya, makanan seperti ini mempunyai potensi digemari ramai yang bukan saja sedap dan enak dimakan malah lebih selamat,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Produk Makanan 2011/2012 di Kampus Kota UniSZA Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beliau memberitahu, pihaknya bersedia memain peranan untuk membuat pembaikan kualiti makanan seumpama itu sebelum menembusi pasaran tempatan.

Mengenai pertandingan tersebut, jelasnya, ia diadakan buat kali kedua selepas mula diperkenalkan tahun lalu yang disertai para pelajar fakulti berkenaan.

“Daripada kumpulan yang bertanding, satu kumpulan akan dipilih untuk menyertai pertandingan dwi-tahunan antara universiti tempatan iaitu Malaysia Institute of Food Technology (MIFT) tahun depan dengan UniSZA menjadi tuan rumah,” katanya.

Kata Che Abdullah, pada pertandingan serupa tahun lalu, UniSZA muncul naib johan manakala johan disandang oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ketiga.

Dalam pada itu, pada pertandingan semalam, kumpulan Spot yang menampilkan produk sweet potato sausage muncul johan diikuti Cocoron (naib johan) dan Viggie (ketiga).

Kumpulan Cocoran mempertandingkan produk coconut fiber macaroon manakala kumpulan Viggie dengan vegetarian burger.