Halaman

20 January 2012

UMNO Terengganu anjur pertandingan peti undi

Oleh FAUZI MOHD


Semua 343 peti undi pilihanraya UMNO di seluruh Terengganu menyertai pertandingan peti undi sebagai persiapan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

Setiausaha UMNO negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang berkata, pertandingan itu mengambilkira persiapan dari segi daftar pemilih, gerak saraf, sistem maklumat, bacaan sikap serta kepimpinan peringkat nerkenaan.

"Pertandingan ini sebagai platform kepada jentera parti untuk bekerja dengan lebih gigih mengesan dan mendekati 603,641 pengundi berdaftar di seluruh Terengganu sehingga kini.

"Daripada jumlah itu, 235,217 adalah ahli UMNO yang sebahagiannya turut bekerjasama menjayakan program berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pertandingan itu yang disempurnakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said di Janda Baik, Pahang malam tadi.

Tambah Dato' Tengku Putera, peti undi terbaik akan dipilih di semua lapan bahagian UMNO dan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dijadikan contoh kepada peti-peti undi yang lain.