Halaman

11 January 2012

Terengganu sasar 4 juta pelancong

Oleh: Suriati Ali

Terengganu menyasarkan kedatangan empat juta pelancong ke negeri itu pada tahun ini berbanding 3.9 juta yang datang pada tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata sasaran itu mampu dicapai memandangkan bilangan pelancong yang berkunjung ke Terengganu pada tahun lalu itu melebihi sasaran 3.8 juta orang.

"Walaupun pulau peranginan hanya dibuka pada April serta keadaan cuaca dan keadaan ekonomi kurang memberangsangkan tahun lalu, kedatangan pelancong ke Terengganu masih meningkat dengan baik.

"Ini menunjukkan satu pertambahan kedatangan pelancong yang membanggakan kita," katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, apabila projek Kawasan Bebas Cukai di Tasik Kenyir siap kelak, Terengganu mampu menarik sehingga lima juta pelancong setahun.

“Sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan bidang pelancongan sebagai sumber pendapatan utama selepas minyak dan gas, lebih banyak hotel dan kemudahan penginapan akan disediakan di negeri itu bagi memenuhi permintaan pelancong,” katanya.