Halaman

17 January 2012

Tawar kawasan untuk bina dua institut latihan

Sebahagian daripada pelajar Politeknik Kuala Terengganu gembira menerima baucer RM200 seorang yang disampaikan YB Ahmad razif di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menawarkan lokasi seluas 4.8 hektar, di Kampung Banggol Air Lilih, Kuala Nerus kepada Politeknik Kuala Terengganu (PKT) dan Kolej Komuniti Kuala Terengganu(KKKT) untuk dijadikan kawasan pembelajaran yang lebih kondusif.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, YB Ahmad Razif Adb Rahman, berkata pihaknya bersedia dan mengalu-alukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya membina dua institut latihan itu di kawasan yang bakal dijadikan `Hub Pendidikan’.

Katanya, kawasan itu amat sesuai kerana berdekatan dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Pusat Latihan Giat Mara.

“Buat masa sekarang, KPT sudah bersedia membina KKKT di kawasan sama membabitkan lokasi seluas 2.4 hektar. Jika pihak sama bersetuju membina PKT pula , kedua-dua institut latihan itu akan dibina secara bersebelahan,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Baucar Buku 1 Malaysia di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PKT, Puan Radiah Che Su dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

YB Ahmad Razif sudi menyampaikan sendiri baucar buku bernilai RM200 seorang kepada 479 penuntut PKT yang hadir di majlis itu.


Beliau turut memberitahu, baucar yang diperoleh itu cukup penting bagi setiap pelajar untuk membeli buku rujukan ilimiah berkaitan bidang masing-masing.

“Sekiranya bijak memanfaat apa yang diperoleh ini, sudah tentu mampu merangsang minda setiap penuntut untuk merekacipta projek inovasi yang hebat,” katanya.