Halaman

31 January 2012

Tambahan RM5j untuk bela nasib rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menambah peruntukan RM5 juta melalui Tabung Darul Iman bagi memastikan rakyat negeri ini yang kurang bernasib baik dan ditimpa musibah termasuk bencana alam dan penyakit kronik mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Daripada keseluruhan jumlah caruman itu, RM2 juta adalah bagi tujuan kebajikan sosial perubatan iaitu membantu pesakit yang kurang berkemampuan membiayai kos rawatan perubatan atau kos pembelian peralatan perubatan pesakit.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha kerajaan itu bagi memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih luas serta rakyat yang benar-benar memerlukan berpeluang memanfaatkannya.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mencari jalan untuk membantu dan menjaga kebajikan rakyat sebagaimana agenda yang diuar-uarkan kerajaan negeri, ` Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Untuk rekod, sepanjang 2009 hingga November tahun lalu, seramai 7,579 orang mendapat manfaat daripada tabung ini dengan perbelanjaan RM6.37 juta.

Selain Tabung Darul Iman, Tabung Penyakit Kronik yang diwujudkan sejak 2010 juga bertujuan membantu menyelesaikan penderitaan rakyat yang memerlukan perhatian segera terutama yang berdepan dengan penyakit kritikal dan memerlukan bantuan perubatan akibat kekangan kewangan.

Peruntukan diterima menerusi tabung itu sejak September 2010 berjumlah RM2 juta dan kira-kira RM360 ribu sudah dibelanjakan sehingga Februari 2011.

Seramai 242 pesakit seluruh Terengganu yang menghidap pelbagai penyakit kritikal dan memerlukan perhatian segera berjaya mendapatkan bantuan menerusi tabung berkenaan sehingga Julai lalu.