Halaman

15 January 2012

T-Team , Terengganu benam lawan

Oleh: Aida Abd Rahman

Seakan memberi amaran awal kepada pasukan lain, T-Team terus melakar kejutan apabila sekali lagi mengutip tiga mata penuh selepas berjaya membenam Kuala Lumpur 3-0, di Stadium Hang Jebat, Melaka, semalam.

Pasukan bertaraf kelab yang dibimbing Yunus Alif itu merekodkan kemenangan dua kali berturut-turut untuk mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu liga apabila mengutip enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Ketua pasukan T-Team, Zairo Anuar Zalani menjadi wira pasukan itu, apabila berjaya menghasilkan dua gol pada minit ke-30 dan minit ke-79, manakala gol terakhir dijaringkan oleh awang import, Zacharia Simukonda pada minit ke-69.

Sementara abang T-team, Terengganu turut melakar keputusan yang sama selepas berhasil mengutip tiga mata penuh apabila menumbangkan Felda United dengan jaringan 3-0, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Seakan melupakan kemelut yang melanda dalam skuad itu berhubung isu pemain import, pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris mempamerkan aksi menarik sebaik wisel ditiupkan dan berjaya membolosi gawang Felda seawal minit ke-11 menerusi jaringan Ismail Faruqi.

Manakala penyerang berbisa Terengganu, Mohamad Ashaari Samsudin menjadi wira untuk tuan rumah meraikan kemenangan apabila menambah dua gol lagi pada minit ke-73 dan minit ke-93, sekaligus menutup peluang Felda meraih sebarang mata.