Halaman

26 January 2012

Sultan Terengganu lawat MBKT

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat melawat pejabat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan mendengar taklimat pembangunan di bandar ini, pagi ini.



Menyambut keberangkatan baginda ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.

Taklimat disampaikan oleh Dato’ Haji Adzlan merangkumi keseluruhan pembangunan dalam kawasan pentadbiran MBKT bermula sejarah penubuhannya, bidang kuasa, profil, halatuju, struktur pentadbiran, carta organisasi dan fungsi serta peranan organisasi tersebut ke arah kesejahteraan warga bandar.



Dalam takilmatnya, Datuk Bandar turut menyentuh tentang perkhidmatan MBKT secara menyeluruh, pendapatan, perbelanjaan, pembangunan semasa merangkumi kepesatan di kawasan bandar raya termasuk pertumbuhan pusat-pusat kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

Tambahnya, pembangunan bandar raya menjelang 2018 memerlukan satu perancangan yang teliti lagi komprehensif, antaranya projek Jalan Jeram ke Kampung Tok Kong sepanjang 2.2 kilometer (km) (fasa 1) dan 3.6 km (fasa 2) dengan kos keseluruhan RM225.9 juta.

Manakala projek jambatan di atas Sungai Terengganu ke Pulau Sekati membabitkan jambatan sepanjang 1.15 km serta keseluruhannya 2.5 km dengan kos RM238.5 juta.

Selain itu, MBKT turut merancang membangunkan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) sebagai tranformasi utama projek pusat bandar raya membabitkan pelaburan RM5 bilion.