Halaman

02 January 2012

Sekolah sukan kedua Terengganu dibina Februari depan.

Oleh FAUZI MOHD

Pembinaan sekolah sukan kedua di negeri ini akan bermula Februari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abd Rahman.

Menurutnya, projek yang menerima peruntukan awal Kerajaan Pusat sebanyak RM25 juta itu dibina di kawasan seluas lapan hektar di Gong Badak berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak.

Katanya, pembinaannya dalam tempoh dua tahun itu mampu menempatkan sehingga 800 pelajar.

"Sebelum ini kita telah mempunyai sebuah sekolah sukan yang sama iaitu Sekolah Sukan Bukit Nenas di Setiu, namun pembinaan sekolah kedua ini juga amat penting memandangkan Terengganu kini merupakan kuasa sukan baru di negara ini.

"Penubuhan sekolah kedua ini dilihat perlu bagi menggilap bakat-bakat yang ada," katanya beru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, pembinaan sekolah tersebut akan menggunakan konsep yang sama dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor.

"Kita akan menumpukan kemasukan anak negeri ini terlebih dahulu. Apa yang penting mereka bukan sahaja perlu hebat dalam sukan, bahkan dalam akademik jika mahu menyambung pelajaran di sekolah berkenaan," katanya.

Sementara itu katanya, dua buah sekolah lagi turut dibina tahun depan iaitu , Sekolah Menengah Vokasional Hulu Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Peroi di Setiu.