Halaman

14 January 2012

Sediakan payong sebelum hujan MB

Oleh: Mohammad Ishak


Ahmad Said menunjukkan payong BN yang akan diedarkan kepada jentera parti

“Sediakan payong sebelum hujan” itulah pepatah paling tepat yang diingatkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu,Dato’ Seri Ahmad Said, kepada semua jentera parti terutama Wanita Umno yang menadi tonggak utama kepada parti Barisan Nasional (BN).

Serentak itu,beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, mempraktikkan kata-kata itu dengan mengedarkan 2,000 payong berlambangkan BN kepada Wanita Umno Bahagian Besut yang menghadiri Program Jalinan Rakyat (JR) di Dewan Sekolah Menengah Seri Nering, Jertih, petang ini.

Simbolik itu bertujuan menyuntik semangat jentera wanita untuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Ketua, Nawi Mohamad, Naib Ketua,Muhamad Pehimi Yusof,Setiausaha Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar,Bendahari,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan Ketua Wanita Bahagian, Engku Naimah Engku Taib.

Pergerakan Wanita Umno Bahagian Besut adalah yang pertama menerima agihan payong parti bertujuan memberi kemudahan kepada skuad Jalinan Rakyat (JR) menjalankan tugas memasuki kampung dan melawati pengundi.

Ahmad berkata, BN Terengganu sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya termasuk bekalan bendera, payong dan lain-lain keperluan yang kini sudah berada dalam simpanan parti.


Ahmad dan Idris menghadiri majlis JR Wanita Besut


Katanya, semua petugas JR kini lebih mudah menerangkan pelbagai isu untuk membalas serangan dakwan pembangkang kerana BN mempunyai banyak isu untuk diketengahkan kepada pengundi.

Beliau memberi keyakinan Terengganu akan kekal diperintah BN kerana pembangkang kini berpecah sesama sendiri manakala pemimpin parti negeri ini begitu bersemangat untuk mempertahankan kemenangan BN pada pilihan raya nanti.