Halaman

29 January 2012

Perpaduan asas kesejahteraan masyarakat

Oleh; Esah Abdullah

Semangat perpaduan dan persefahaman yang wujud antara kaum di negara ini perlu dipertahankan bagi mengekalkan kesejahteraan hidup bermasyarakat terutama di peringkat komuniti.

“Setiap program yang dilaksanakan di peringkat kampung dan daerah perlu memberi manfaat bersama kepada masyarakat pelbagai keturunan dan agama,” kata Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee.

Katanya, sebagai contoh di daerah Setiu, majoriti Melayu dan selebihnya Siam dan Cina merupakan satu kelebihan bagi daerah kecil itu menonjolkan kesepakatan dalam semua aktiviti yang diadakan.

“Saya tidak mahu wujudnya jurang perbezaan sehingga menyebabkan kumpulan minoriti sedia ada di sini tersisih walaupun telah lama menetap di perkampungan Melayu,” katanya di majlis sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Aktiviti MCA, Setiu.

Majlis yang turut dihadiri pelbagai kaum Melayu, Cina dan Siam itu meriah dengan aktiviti dan persembahan kebudayaan termasuk gendang panjang Siam.

Katanya, dalam dunia tanpa sempadan ini penuh dengan cabaran dan generasi muda perlu bersedia dari aspek fizikal dan mental agar tidak mudah terpedaya dengan permainan dunia siber.

Tambahnya, golongan muda merupakan aset negara dan mereka perlu mempunyai daya saing yang tinggi serta mempunyai wawasan dan idea demi masa depan pembangunan negara yang gemilang.