Halaman

09 January 2012

Penyu optimis tanpa kelibat awang import

Oleh: Aida Abd Rahman

Walaupun Terengganu bakal bertandang ke Stadium Ipoh sebagai pembuka tirai kancah Liga Malaysia malam esok (10 Januari) tanpa kelibat pemain import, naib juara Piala Malaysia 2011 itu tetap optimis mampu membuat kejutan dalam saingan sepanjang musim ini.



Penolong Pengurus pasukan yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Sheikh Tajudin Sheikh Yusof , berkata PBSNT tetap menaruh keyakinan dengan kemampuan barisan pemain sedia ada walaupun tidak mendapat sentuhan `awang import’ dalam pasukan itu.

Barisan pemain Terengganu yang bakal menggalas cabaran musim ini termasuk Abdul Manaf Mamat, Abdul Hadi Yahya, Joseph Kalang Tie selain Mohamad Muslim Ahmad, Abdul Shukur Jusoh dan Zubir Azmi.

Kenyataan itu turut disokong pengendali pasukan, Mat Zan Mat Aris menaruh kepercayaan tinggi kepada pemain sedia ada dan juga pemain muda untuk memikul tanggungjawab bagi merebut tempat ke pentas Piala AFC 2012 nanti.

Beliau turut menyifatkan pengambilan khidmat pemain import yang kurang berkualiti sebagai satu pembaziran kepada persatuan dan negeri.
Malah, Terengganu sudah menghantar pulang 10 pemain import selepas kesemua mereka gagal menepati kriteria yang diperlukan.

“Oleh itu, kita hanya akan menghantar dua pemain import daripada empat kuota yang diberikan oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) kepada pasukan negeri untuk membantu pasukan dalam menghadapi saingan di Piala AFC nanti,” katanya.
Skuad Penyu sebelum itu, tidak dapat menggunakan khidmat pemain import berikutan kekeliruan terhadap surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).