Halaman

01 January 2012

Dua pelumba wanita Terengganu sertai ACC

Oleh: Aida Abd Rahman

Jika sebelum ini pelumba sensasi dari Terengganu, Fatehah Mustafa, sudah melakar nama di persada dunia, kini dua lagi nama pelumba wanita bakal mencuri tumpuan apabila tersenarai mewakili negara ke Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Putrajaya dari 18 hingga 22 Februari ini.

Pelumba berkenaan, Nor Ain Mahmud dari Besut dan Suryani Mohamad dari Kuala Terengganu pertama kali terpilih ke kejohanan dunia berkenaan.
Jurulatihnya, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, berkata kedua-dua atlet itu kini berada di Melaka untuk menyertai latihan pusat bersama-sama tiga lagi pelumba wanita yang lain iaitu masing-masing dua dari Angkatan Tentera Malaysia dan seorang dari Johor.

Kedua-dua pelumba berkenaan bersama rakan pasukan yang terpilih kini sedang menjalani latihan sebagaimana dijadualkan yang akan memasuki tahap kedua sebagai persiapan menghadapi kejohanan ACC itu nanti.

“Mereka berdua terpilih berdasarkan pencapaian semasa dan terkini menerusi kejohanan yang disertai sepanjang tahun ini,” katanya.

Malah, pemilihan itu membuktikan Terengganu bukan hanya `kilang’ melahirkan jaguh lumba basikal lelaki, tetapi turut menghasilkan jaguh di kalangan wanita.