Halaman

27 January 2012

MBKT kutip hasil letak kereta RM3.88 juta setahun

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) berjaya mengutip hasil tempat letak kereta berjumlah RM3.88 juta sepanjang tahun lalu berbanding RM3.71 tahun sebelumnya.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, limpahan kenderaan yang mengunjungi bandar ini memperlihatkan peningkatan kutipan hasil setiap tahun.

Katanya, pada 2009 jabatan berjaya mengutip hasil RM3.32 juta manakala tahun sebelumnya (2008) sebanyak RM2.76.

“Kewujudan banyak premis perniagaan, institusi kewangan dan pusat membeli belah salah satu faktor utama tumpuan orang ramai berkunjung ke bandar terutama pada hujung minggu,” katanya.

Dato’ Haji Adzlan berkata demikian dalam majlis taklimat Pembangunan Bandar Raya Kuala Terengganu bersempena keberangkatan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin ke pejabat MBKT semalam.

Sehingga ini katanya,terdapat 5,839 petak tempat letak kereta termasuklah 3,200 petak tempat letak kereta bermeter, 2,407 petak di 24 medan letak kereta sekitar bandar serta 232 lagi tempat letak kereta mekanikal di Batas Baru.

“Kita juga meletakkan syarat semua bangunan baru yang akan dibina di bandar ini perlu menyediakan parkir yang mencukupi tanpa pengecualian,” katanya.