Halaman

15 January 2012

MB lega keputusan FAM lanjut daftar pemain import

Oleh FAUZI MOHD

"Terima kasih kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Ini maknanya FAM dengar kehendak kita".

Itu reaksi Dato' Seri Ahmad Said terhadap keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang memberi kelonggaran kepada persatuan negeri dan kelab melanjutkan pendaftaran pemain import sebelum 13 Februari ini.

Menurut Menteri Besar, tegurannya terhadap FAM mengenai perkara itu tempoh hari sebenarnya bertujuan untuk sama-sama melihat sukan bola sepak tempatan negara maju serta membangun.

"Saya bersyukur dan terima kasih kepada FAM yang buat keputusan untuk buka semula pendaftaran pemain import. Tujuan ambil pemain ini (import) untuk meningkatkan pencapaian bola sepak tempatan dan jumlah penonton ke stadium.

"Saya bukan bercakap sebagai seorang Menteri Besar, tapi saya bercakap bagi pihak peminat bola sepak di peringkat akar umbi, saya juga peminat bola. Jadi, saya tahu kehendak peminat," katanya.

Kata Dato' Seri Ahmad selepas merasmikan Konvensyen NGO's Negeri Terengganu 2012 di Hotel Primula, Kuala Terengganu semalam.