Halaman

15 January 2012

Maidam serah RM224,000 taja 112 pelajar UiTM

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) baru-baru ini menyerahkan tajaan derma siswa kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).

Tajaan hasil kutipan zakat itu berjumlah RM224,000 dan akan diagihkan kepada 112 pelajar yang diletakkan dalam program berkenaan.

Ia diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Wan Sulaiman kepada rektor universiti itu, Tengku Yusoff Tengku Mahmud.

Dalam ucapannya, Wan Harujan berkata, menjadi hasrat dan kepentingan kepada Maidam untuk membantu pelajar yang tergolong dalam kumpulan asnaf yang perlu dibantu.

"Ini bertepatan dengan program MDAB yang dibawakan oleh UiTM bagi membantu pelajar yang tidak berkemampuan tetapi mempunyai cita-cita untuk mengubah nasib diri dan keluarga," ujarnya.