Halaman

31 January 2012

LPPMT sedia aktiviti pikat pelancong

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Terengganu (LPPMT) merancang mewujudkan hub aktiviti luaran atau ‘karnival outdoor’ peringkat Pantai Timur di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Pengarah LPPMT, Encik Mohd Nasir Khusairi berkata, kertas kerja mengenainya serta pengisian program telah siap dirangka dan akan diangkat kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

“Kita bercadang mencetuskan program yang boleh menarik orang ramai menyertainya seperti jom gatih, pinball di samping aktiviti lain yang boleh disertai pelbagai peringkat umur,” katanya, kepada pemberita di majlis Sembang-sembang Pelancongan Terengganu di Taman Tamadun Islam, petang semalam.

Hadir sama, Pegawai Bahagian Perlesenan Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu,Encik Norawawi Yusof dan Pengerusi Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Terengganu (MATA) Encik Wan Supian Dato’ Wan Ishak serta lebih 20 agensi pelancongan swasta yang beroperasi di negeri.

Katanya, pihaknya turut merancang memperkenalkan kepada pelancong untuk beriadah sambil berbasikal dan menyakinkan semua orang bahawa negeri ini boleh dilawati sepanjang tahun tanpa tertumpu pada bulan-bulan tertentu sahaja.

Tambahnya, kebanyakan orang luar yang datang lebih tertumpu ke pulau-pulau tanpa mengetahui lebih mendalam aktiviti yang boleh mereka sertai di tanah besar yang kaya dengan pelbagai khazanah alam semula jadi.

Beliau juga mempelawa badan-badan Ngo bekerjasama dengan kerajaan menghidupkan Pulau Warisan, mengadakan aktiviti hujung minggu dengan persembahan kebudayaan seperti rodat, gamelan yang boleh menarik pelancong luar menikmati serta menghayati adat resam negeri ini.

“Bila ramai orang datang, impaknya akan menguntungkan pengusaha dan peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai produk tempatan,” katanya