Halaman

12 January 2012

Kuala Nerus anjur festival budaya gemilang

Oleh; Esah Abdullah

Festival Budaya Gemilang Kuala Nerus akan diadakan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin mulai esok hingga Sabtu ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, festival yang julung kali diadakan ini dipenuhi program yang menjurus ke arah mendekatkan pemimpin dan rakyat.

Katanya, antaranya ialah forum perdana yang membariskan ahli-ahli panel gabungan lama dan baru seperti Ustaz Abdul Halim Awang (Pensyarah UniSZA), Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Riduan (imam muda Astro Oasis) dan Ustazah Masfira Hilman (ustazah pilihan Astro Oasis).

“Festival juga bertujuan memperkenalkan sukan tradisi rakyat kepada golongan muda agar ia tidak hilang dalam arus pembangunan masakini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Selain itu, sukan tradisi yang diketengahkan nanti seperti demontrasi gasing, gelek rim, sepak raga ratus, rakit darat,tarik tali, kaki tiga dan terompah gergasi yang disertai secara individu dan berpasukan.

Turut diadakan kembara mencari harta karun melibatkan semua golongan penduduk tempatan di samping persembanhan kebudayaan seperti tarian inang, silat gayong dan ulik mayang.

Pihak urusetia memperuntukkan RM20,000 keseluruhan hadiah berbentuk wang tunai kepada pemenang dalam semua acara pertandingan dan akan diserahkan sebaik tamat setiap permainan.

“Kemuncak festival ialah majlis Persandingan Tautan Kasih empat pasangan pengantin yang mewakili empat kawasan Dewangan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tepoh, Teluk Pasu, Seberang Takir dan Bukit Tunggal,” katanya.

Menurutnya, dijangkakan lebih 5,000 jemputan akan hadir memeriahkan majlis persandingan itu termasuk wakil pengantin kedua belah pihak dari luar Terengganu.

Majlis pelancaran dilakukan oleh beliau sendiri manakala perasmian penutup oleh Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri merangkap Adun Teluk Pasu, YB Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.