Halaman

15 January 2012

Kerajaan atasi masalah sekolah tergendala akibat banjir

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan akan membina jalan altenatif ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buloh dan SK Kampung Besut di Setiu bagi menyelesaikan masalah persekolahan yang tergendala di sekolah berkenaan akibat banjir.



Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sebagai jalan penyelesaian sementara, kerajaan akan membina jalan lencongan untuk ke sekolah terbabit.

Dua sekolah terbabit sudah dua kali ditutup tahun ini berikutan jalan ke sekolah berkenaan dinaiki air di mana ia berlaku pada hari pertama penggal sekolah dibuka baru-baru ini dan yang terbaru hari ini.

“Kawasan sekolah tidak terjejas tetapi laluan ke situ yang bermasalah dan kita cuba selesaikan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan hakisan di Pantai Tok Jembal hari ini.

Katanya, beberapa cadangan turut dikaji oleh kerajaan jika perkara berkenaan berlarutan dengan memindahkan pelajar terbabit ke sekolah berdekatan bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terganggu.

Katanya, seramai 736 pelajar tahun satu hingga enam berada di sekolah berkenaan iaitu 558 pelajar di SK Kampung Buloh dan 178 di SK Kampung Besut.

Tambahnya, pelajar terbabit yang bercuti akibat bencana alam akan digantikan pada hari Sabtu bila keadaan pulih sepenuhnya.