Halaman

01 January 2012

JKM keluar kad baru kepada OKU

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri memperkenalkan kad keahlian Orang Kelainan Upaya (OKU) yang baru bercirikan keselamatan dan lebih tahan lama kepada kira-kira 10,000 ahlinya yang berdaftar tahun ini.

Pengarah JKM negeri, Encik Zuhaimi Omar berkata, kad keahlian OKU baru yang bersaiz dan bercirikan seperti kad pengenalan diri itu mula diperkenalkan sejak Ogos lalu bagi mengantikan kad sedia ada yang berbentuk plastik.

Katanya, pada masa ini lebih 1,000 ahli telah menukar kad keahlian tersebut dan yang lain dijangka selesai menukarnya menjelang Julai tahun depan.

“ OKU boleh mengunjungi ke semua pejabat JKM negeri dan daerah serta 40 Pusat Khidmat Komuniti di seluruh negeri bagi memudahkan penukaran kad kedahlian yang baru,” katanya

Sehubungan itu katanya, pihaknya berharap semua OKU dapat menukar segera kad keahlian yang lama kepada yang baru yang diberikan secara percuma,’’ katanya pada majlis Sambutan Hari OKU di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa petang semalam yang dirasmikan oleh isteri Setiausaha Kerajaan Negeri, Toh Puan Rohani Abdullah.

Beliau juga mahu golongan OKU yang belum mendaftar dapat berbuat demikian kerana banyak manfaat yang diperolehi apabila menjadi ahli.

Tambahnya, banyak kemudahan yang disediakan kerajaan kepada golongan itu termasuk lebih 30 kemudahan yang boleh diperolehi ahli antaranya tambang pengangkutan.

Beliau menganggarkan masih ramai OKU yang tidak mendaftar dengan JKM , walaupun pelbagai usaha termasuk turun padang dan hebahan dilakukan untuk mendaftarkan mereka.

``Faktor malu di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak cacat masih ada sedangkan banyak peluang yang boleh membantu tuntuk mereka berdikari,’’ ujarnya.

Katanya, JKM telah membelanjakan kira-kira RM89.8 juta untuk menyalurkan pelbagai bantuan kepada seramai 32,877 orang pada tahun ini.

“Bantuan itu termasuk bantuan am negeri, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja cacat, orang tua, bantuan penjagaan OKU dan pesakit kronik serta bantuan OKU tak bekerja,” katanya.