Halaman

14 January 2012

JHEAT belanja RM856,720 elaun Hafiz al-Quran

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membelanjakan RM856,720 sebagai imbuhan bulanan kepada 156 orang yang berjaya menghafaz al-Quran kategori dewasa terbuka seluruh negeri tahun lalu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT, Hajah Shamsiah Awang berkata, jumlah tersebut merupakan peserta yang lulus dalam ujian penggal pertama (81) dan penggal kedua (78) yang diadakan di pejabat agama daerah seluruh negeri pada Mac dan September tahun lalu.

“Peserta yang berjaya hafaz 30 juzu’ menerima elauan bulanan sebanyak RM800 hingga RM1,000 seorang,” katanya.

Katanya, imbuhan bulanan juga diberikan kepada 45 orang Jurutasmi’e membabitkan peruntukan RM29,800.

Menurutnya, jabatan sentiasa mengalu-alukan masyarakat di negeri ini mendalami dan menghafaz al-Quran melalui kelas-kelas yang dikendalikan oleh guru-guru bertauliah JHEAT.

“Kelas al-Quran yang wujud di kampung-kampung itu terbuka kepada semua peringkat umur termasuk mereka yang mempunyai pekerjaaan tetap,” katanya.

Selain imbuhan bulanan katanya, ganjaran juga diberikan kepada hafiz yang meninggal dunia antara RM5,000 hingga RM10,000 berdasarkan jumlah juzu’ yang dihafaz.