Halaman

07 January 2012

FAM benarkan Terengganu, T-Team beraksi waktu malam di SSINS

Oleh FAUZI MOHD

Tiga pasukan Liga Super, Terengganu, T-Team serta Sabah boleh menarik nafas lega apabila venue stadium tuan rumah perlawanan mereka melepasi tahap pencahayaan lampu limpah seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata sehubungan itu tiga pasukan tersebut akan beraksi pada sebelah malam di gelanggang sendiri.

"Pihak FAM telah membuat pemeriksaan di Stadium Likas, Sabah pada 29 Dis lalu sementara di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu pula dua hari kemudian.

"Kedua-dua venue itu kini melepasi syarat-syarat lampu limpah minimum 800 lux yang dibenarkan sebelum ini," katanya.

Terengganu dan T-Team berkongsi stadium yang sama namun bergilir-gilir beraksi di laman sendiri.

Jelas Hamidin hanya empat stadium yang masih dalam proses pembaikan iaitu Stadium Shah Alam dan Stadium Cheras di Lembah Klang, Stadium Darul Makmur, Pahang dan Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin, Johor.

Bagaimanapun katanya, hanya satu venue Liga Super akan bermain di sebelah petang iaitu di Stadium Hang Jebat, Melaka di mana pasukan kelab Felda United FC dan Kuala Lumpur akan menjadikan stadium tersebut sebagai venue perlawanan berikutan Stadium Cheras masih dalam pembaikan padang.