Halaman

25 January 2012

ETP perkasakan penguasaan BI

Oleh: Aida Abd Rahman

Syarikat ExxonMobil berhasrat menaja penubuhan Taman Tema Bahasa Inggeris (ETP) di Kuala Berang, Hulu Terengganu bagi memenuhi tanggungjawab sosial sekaligus memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negeri ini.

Pengurus Hal Ehwal Awam dan Perhubungan Kerajaan, Subsidiari ExxonMobil, Encik Farid Jaafar berkata, kemudahan ETP dijangka diwujudkan tahun ini itu adalah ETP ketiga di negeri ini selepas ETP Kemasik dan ETP Tok Jiring.

“Kemudahan taman ini bertujuan menggalakkan pengunaan dan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di kawasan itu selain dengan pelbagai bahan rujukan dan alat bantu pembelajaran mampu mewujudkan suasana belajar yang menyeronokkan sekali gus mampu menarik perhatian mereka,” katanya.

Selain itu, menurut Encik Farid, sambutan yang diterima daripada pelajar di kedua-dua ETP sangat baik, di mana ETP Tok Jiring yang mula beroperasi sejak 2009 lalu berjaya memberi kemudahan kepada pelajar dari lebih 50 sekolah rendah sekitar Kuala Terengganu.

“Penubuhan ETP ketiga yang akan diwujudkan di Kuala Berang diharapkan dapat memberi peluang kepada pelajar Hulu Terengganu pula untuk menikmati kemudahan pembelajaran bahasa Inggeris.

“Saya pasti usaha ini dapat membantu mereka meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang juga bahasa antarabangsa,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Komuniti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Bersama ExxonMobil di balairaya Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Sementara itu, perasmian program disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, YB Ahmad Razif Abd Rahman.

Terdahulu, Encik Farid menyampaikan replika cek bernilai RM86,000 kepada Ketua Pengarah LPPKN, Dr Anjli Doshi bagi menjayakan Program Klinik Komuniti Bergerak LPPKN sebagai salah satu skop tanggungjawab sosial ExxonMobil terhadap komuniti setempat.