Halaman

15 December 2011

Yang Di-Pertuan Muda terima pengurniaan DKR


Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Pingat Darjah Kerabat DiRaja Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Yang Pertama (DKR) kepada Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Pengurniaan kepada anakanda sulung baginda itu bersempena Majlis Istiadat Penghadapan Setelah Menyempurnakan Kewajipan Sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Maziah, Kuala Terengganu, semalam (14 Disember).
Turut berangkat ke istiadat berkenaan, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, kerabat-kerabat raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam majlis penuh istiadat bermula jam 9.30 pagi, Sultan Mizan turut berkenan menyembahkan titah dari singgahsana selepas Menteri Besar selesai menyampaikan ucapan.

Selepas titah ucapan baginda, nobat dipalu lagu `Ibrahim Khalil’ berserentak dengan tembakan meriam 21 das.

Keberangkatan masuk baginda dan Sultanah Terengganu diiringi dengan paluan nobat lagu `Iskandar’, sementara keberangkatan dari majlis istiadat itu diakhiri dengan paluan lagu `Sri Istana’.