Halaman

28 December 2011

UMT raih dua emas di SIIF, Korea Selatan

Oleh FAUZI MOHD

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraih dua emas, tiga perak dan dua gangsa dalam pertandingan Seoul International Invention Fair 2011 (SIIF) di Coex Exhibition Hall, Seoul, Korea Selatan pada awal bulan lalu.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen dan pencapaian terbaik para penyelidik sekali gus menjadi kebanggaan universiti dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Para penyelidik UMT juga meraih empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa dalam pertandingan BioMalaysia Conference dan Exhibition 2011 (BMCE) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya semalam.

Menurut beliau, dalam BMCE, UMT menghantar lapan produk, tujuh daripadanya mendapat pingat manakala di SIIF, universiti itu turut memenangi tujuh daripada sembilan produk yang dipertandingkan.

Katanya, produk Seagold Probiotik Liquid: Nutritional Health Supplement yang dihasilkan oleh Prof. Dr. Effendy Abd. Wahid dan Thirukanthan Chandra Segaran yang menerima pingat emas turut merangkul anugerah khas Bioteknologi Inovation of The Year.

Selain itu, UMT turut menggondol pingat emas menerusi projek penyelidikan Scalogel: Topical Wound Care Management, juga hasil kreativiti Dr. Effendy dan Thirukanthan.