Halaman

04 December 2011

UMT dapat pengiktirafan Malaysian Book of Record

Oleh; Esah Abdullah



Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar sejarah apabila mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book Of Record bagi skop penyediaan kemudahan perkhidmatan, kemudahan pelajar dan pengurusan alumni.

UMT juga turut cemerlang dalam sistem pengurusan kualiti dan menerima Sijil ISO 9001-2008 yang diadakan sempena perhimpunan bulanan di Dewan Sultan Mizan, UMT Mengabang Telipot.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, UMT berada di landasan yang baik dan bergerak ke arah menepati sasaran 10,000 pelajar menjelang 2015.

“Sehingga ini jumlah pelajar di UMT lebih 7,000 pelajar yang mengikuti pelbagai program yang ditawarkan termasuk di Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin yang baru diwujudkan,” katanya di majlis Perhimpunan Bulanan UMT hari ini.

Selain itu Prof. Dato’ Dr Aziz mengakui hakikat, tanpa pengurusan yang cekap serta pelajar yang komited dan cemerlang, UMT tidak mampu berdiri megah seperti hari ini.

“Al hamdulillah peruntukan berjumlah RM138.6 juta yang diterima UMT setiap tahun mendapat tambahan RM6 juta menjadikan RM144 juta untuk tahun 2012,” katanya disambut tepukan gemuruh daripada semua warga UMT yang memenuhi dewan.