Halaman

07 December 2011

RM20 juta untuk pusat pentadbiran daerah baru Kuala Nerus

Oleh FAUZI MOHD

Dalam usaha menjadikan Kuala Nerus sebagai suatu daerah pentadbiran baru, kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta sebagai persediaan awal.

Peruntukan bagi tahun depan itu bagi memulakan kerja-kerja ke arah mewujudkan pusat pentabdiran apabila pentadbirannya dipisahkan daripada daerah Kuala Terengganu kelak.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said mengumumkan peruntukan itu semasa membentangkan Bajet 2012 pada sidang Dewan Undangan Negeri Isnin lalu.

Ia sebahagian daripada langkah agar kawasan yang pesat berkembang dan padat dengan penduduk itu dapat menikmati perkhidmatan perbandaran dan program pembangunan sosial dengan lebih baik.

"Kerajaan Barisan Nasional sentiasa mendengar keluhan rakyat dan bersedia memenuhi kehendak mereka," ujar beliau.

Cadangan menjadikan Kuala Nerus sebagai suatu daerah pentadbiran baru telah disuarakan oleh para pemimpin setempat sejak beberapa tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, YB. Muhammah Ramli Nuh ketika ditemui di luar Dewan berterima kasih dengan komitmen dan perhatian serius yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, ini memudahkan lagi perancangan kerajaan dalam soal pembangunan dan khidmat wakil-wakil rakyat apabila tumpuan khusus dapat diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Daerah Kuala Terengganu walaupun tidak seluas Kemaman mempunyai penduduk paling padat dan ia meliputi dua kawasan Parlimen dengan 15 wakil rakyat.

"Tumpuan sukar diberikan secara menyeluruh jadi sudah sampai masanya pentadbiran dipisahkan agar khidmat lebih berkesan dapat diberikan," ujarnya.