Halaman

06 December 2011

Projek Ternakan udang bakal tawar 1,500 pekerjaan

Oleh: Suriati Ali

Projek Taman Akuakultur Ternakan Udang Bersepadu (I-SHARP) di Kampung Nyatoh, Setiu, dan bernilai kira-kira RM260 juta, tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada penduduk setempat sebaliknya bakal menawarkan 1,500 peluang pekerjaan.

YB Abd Halim Jusoh (BN-Pemaisuri), berkata dakwaan YB Dr Alias Razak (Pas- Bukit Tunggal) bahawa projek yang masih dalam pembangunan itu menimbulkan pelbagai masalah adalah satu perbohongan dan fitnah semata-mata kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, projek itu masih baru dilaksanakan dan udang yang dilepaskan November lalu pun masih kecil, jika pihak pembangkang mendakwa terdapat sisa buang yang dilepaskan daripada projek itu, ia adalah tidak logik sama sekali.

“Untuk pengetahuan sidang DUN, udang tersebut perlu dibesarkan dalam tempoh 90 hingga 100 hari sebelum boleh ditukar air. Udang bagi projek itu baru berusia 20 hari, mana ada kita tukar air.

“Dakwaan udang diberi makan baja juga adalah satu perbohongan, mana ada udang diberi makan baja, kalau betul ia makan baja, sememangnya udang itu akan mati atau `mampus’,” katanya ketika sesi perbahasan di Sidang DUN, hari ini.

Katanya, tanah yang digunakan untuk projek ternakan ini adalah dikategorikan sebagai tanah Lesen Menduduki Sementara ( LMS) dan ia tidak mempunyai geran.

“Secara umumnya, ramai yang sudah mengetahui apabila satu-satu tanah itu dikategorikan sebagai LMS, ia boleh digunakan oleh kerajaan untuk projek tanaman, ternakan atau sebagainya.

“LMS ini pula bukan diberikan dalam tempoh pemerintahan Pas, tetapi ianya diberi sejak zaman pemerintahan BN lagi iaitu 20 tahun lalu,” katanya.

Katanya, syarikat sama yang turut mengelola projek Ladang Ternakan Udang di Kerpan, Kedah kini cukup maju dan telah mengeksort hasilnya ke luar negara.

“Kejayaan ini jelas membuktikan bahawa kenyataan pembangkang, projek itu terbengkalai dan mendatangkan masalah juga adalah pembohongan.

“Semua ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN Permaisuri dan saya sendiri telah melawat projek di Kerpan itu,” katanya.
Menurutnya, dia tidak pasti pula pihak pembangkang sudah melawat atau belum projek ini.

“Kita telah membuat kajian, siasatan dan lawatan sebelum kita berbakti kepada rakyat.
“Mereka yang menyokong kerajaan, semuanya golongan profesional tetapi pihak pembangkang pula tidak jemu-jemu menabur fitnah kepada kerajaan yang sememangnya banyak berjasa dan menabur kebajikan kepada rakyat, “ katanya.

YB Abd Halim memberitahu, apabila projek ternakan ini siap sepenunnya kelak, ia mampu menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutama di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Berdasarkan perjelasan ini, saya amat dukacita kerana semua fakta yang dibangkitkan Adun Bukit Tunggal adalah fakta yang tidak profesional dan amat memalukan.

“Kita sebagai wakil rakya tidak boleh menuduh apa yang dilaksanakan kerajaan itu tanpa mempunyai bukti dan fakta yang kukuh kerana ia amat memalukan,” katanya.