Halaman

12 December 2011

Program Terengganu Monsun Food Trail bermula esok

Oleh FAUZI MOHD

Tourism Malaysia Terengganu akan menganjurkan Program Terengganu Monsun Food Trail, mulai esok sebagai salah satu usaha mempromosikan keunikan makanan serta masakan tradisi negeri ini.

Pejabat tersebut dalam satu kenyataan memberitahu, program empat hari itu disasarkan kepada pihak media dari dalam dan luar negara.

Program itu merupakan salah satu daripada tarikan di bawah program Fabulous Food 1Malaysia yang dijalankan di seluruh negara.

Antara makanan dan masakan tradisional yang akan diperkenalkan ialah akok, nganang, mas jeput, bronok, pulut nyior, satar, otak-otak , ketupat sotong, nasi dagang dan laksa/laksam Terengganu.

Turut dipromosikan adalah puteri mandi, keropok lekor, bepang, dodol daun palas, rojak kateh, lok lik, apam berkuah, nisan nyior dan kayu keramat.

"Program seperti ini diharap dapat membentuk jalinan rangkaian perniagaan dalam kalangan para peserta dalam usaha membangunkan pakej-pakej pelancongan baru di Terengganu," jelas kenyataan itu.