Halaman

25 December 2011

Penyelidik UMT cipta kaedah baru kesan dadah

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menemui kaedah baru dalam mengesan pengambilan dadah menggunakan rambut dan kuku.

Penyelidik UMT, Prof Madya Dr Marina Mohd Ariffin bertanggungjawab menghasilkan produk Benzomip-SPE bagi memudahkan analisis mengenai pengambilan barang terlarang yang selama ini diperolehi melalui ujian air kencing atau sampel darah.

Beliau berkata, produk berkenaan digunakan bagi membuat ujikaji di unit forensik di Scotland melalui 15 sampel rambut dan menghasilkan bacaan yang lebih tepat.

Di samping penggunaan sampel yang diambil daripada mana-mana bahagian rambut individu disyaki juga boleh dilakukan ke atas kuku yang dihancurkan dan dilarutkan dalam kit Benzomip-SPE.

Beliau mengambil masa dua tahun membuat kajian bagi menghasilkan produk ini yang boleh digunakan khusus untuk kes tertentu yang tidak boleh dikesan melalui ujian darah.

“Beberapa kes yang diujikaji sebelum ini terutama membabitkan kes rogol, kita memperolehi bacaan tepat,” katanya mengambil kira penyelidikannya ketika menyiapkan PhD di Scotland tidak lama dulu.

Tambahnya, produk berkenaan belum boleh di pasarkan kerana masih menunggu masa sesuai, termasuk dari segi pembungkusan produk.

Melalui produk Benzomip –SPE ini Prof Madya DR Marina mendapat anugerah pingat emas dalam pertandingan di Seoul International Invention Fair 2011, Coex Exhibition Hall, Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.