Halaman

30 December 2011

Peninju Terengganu berlatih di Thailand

Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) akan menghantar lima atletnya mengikuti latihan di Sekolah Sukan Tran, Thailand pada Mac depan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma).

Setiausaha PTAT Razali Mamat berkata mereka ialah Mohd Hafizuddin Hakim bagi kategori 46kg, Mohd Hishamuddin Alias (49kg), Mohd Suhaimi Yacob (56kg), Mohd Shahrulnizam Che Nik (52kg) dan Nik Mohd Iqbal Shafi (64kg).

"Kita pilih Sekolah Sukan Tran untuk menjadi rakan pelatih kepada atlet-atlet tinju kita kerana sekolah sukan itu mempunyai ramai petinju berwibawa," katanya.
Beliau berkata, semua atlet terbabit akan mengikuti latihan selama dua minggu.

Kebanyakan petinju terbabit baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan kini mengikuti latihan intensif termasuk menjalani latihan pernafasan di tempat sejuk di Cameron Highlands, katanya.

Untuk Sukma tahun depan, Razali berkata PTAT akan menghantar tujuh atlet selain dua lagi yang sedang dikenal pasti untuk kategori 75kg dan 81kg.