Halaman

22 December 2011

Pelajar autisme lakar sejarah 9A PMR

Oleh: Aida Abd Rahman



Seorang pelajar autisme dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu mencatat rekod apabila muncul calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) pertama di negara ini yang berjaya memperolehi 9 A dalam keputusan peperiksaan yang diumumkan hari ini.

Anak sulung pasangan Zainuddin Muhamad dengan Rozina Mohd Ikram dari Taman Setia Durian Burung, Kuala Terengganu mula dikesan mengalami autisme ketika usianya dua tahun apabila sukar berkomunikasi dan menyesuaikan diri dengan persekitaran selain bersifat hiperaktif.

Pelajar cemerlang berkenaan, Muhammad Danial Zainuddin, 16, mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambilnya turut berkongsi kejayaan dengan adiknya, Nurul Diana, 15, yang meraih kejayaan serupa.


Dia pernah menerima anugerah Tokoh Pelajar sempena Hari Guru peringkat negeri dua tahun lalu adalah satu-satunya pelajar pendidikan khas yang menduduki PMR di SMKA Sheikh Abdul Malek, pada Oktober lalu.

Muhammad Danial merupakan antara 23,157 calon PMR di seluruh Terengganu dan daripada jumlah itu, 91 calon adalah pelajar Pendidikan Khas terdiri daripada enam calon masalah penglihatan, pendengaran (10), pembelajaran (75) dan kurang upaya fizikal (9).

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Saya menasihati rakan-rakan yang senasib dengan saya supaya tidak menjadikan kecacatan dan kekurangan sebagai halangan untuk belajar bersungguh-sungguh serta memperolehi semua A,” katanya.

Dia yang berhasrat menjadi pensyarah suatu masa nanti pernah mencipta sejarah apabila berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tiga tahun lalu walaupun mengalami kecacatan.

Muhammad Danial yang gemar bermain catur dan badminton memperoleh 9A ketika peperiksaan percubaan PMR, sentiasa memberi tumpuan penuh ketika di kelas dan meluangkan masa satu hingga dua jam bagi mengulangkaji pelajaran bersama adiknya, Nurul Diana apabila berada di rumah.

Sementara Rozina yang sanggup melepaskan jawatan sebagai pengurus di sebuah syarikat korporat demi memberi tumpuan kepada anak sulungnya itu menganggap kejayaan yang diraih mereka terutama Muhammad Danial tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

“Saya rasa amat berbangga dan berbaloi melepaskan jawatan dengan gaji lumayan demi menjaga serta memberi sepenuh tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak terutama Danial.



“Danial dan Diana saling bersaing antara satu sama lain dalam pelajaran. Bagaimanapun, Danial memiliki kelebihan di mana dia lebih kuat daya ingatan menyebabkan Diana perlu lebih bekerja keras bagi menyaingi prestasi abangnya,” kata graduan Kejuruteraan Sivil universiti luar negara itu lagi.