Halaman

29 December 2011

Malam Anugerah Pengkalan TUDM Gong Kedak meriah

Oleh: Mohammad Ishak




Majlis sambutan Malam Anugerah Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Besut, yang berlangsung di Dewan Besar pangkalan itu malam tadi sungguh meriah dan menarik dengan kehadiran ramai anggota serta keluarga masing-masing.

Acara tahunan bertujuan memberi pengiktirafan kepada anggota yang berjaya dalam pelbagai bidang sepanjang tahun 2011 turut disertai tetamu luar yang diundangkan khas oleh TUDM berkenaan.

Menariknya, majlis yang bertemakan “Back To School” semua peserta diwajibkan berpakaian penuh seragam sekolah termasuk pegawai tinggi pasukan, anggota dan ahli keluarga mereka.

Ketibaan Komander Pangkalan itu, Brig Jen Mohd Fauzi Ahmad dan isteri serta pegawai kanan pasukan dengan menaiki bas sekolah ke dewan besar dengan diiringi paluan kompang memeriahkan lagi suasana berkenaan.

Pengerusi penganjur, Lt Kol Parves Mohamed Yusof berkata, acara tahunan itu bertujuan memberi penghargaan kepada anggota yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang sepanjang tahun ini.

Katanya, sempena program itu pihaknya mengisi dengan pelbagai acara menarik termasuk anugerah kecemerlangan membabitkan 13 kategori yang ditetapkan. Selain itu orang ramai juga turut terhibur dengan persembahan hiburan nyanyian, dikir barat dan sketsa berkonsepkan suasana di sekolah.


Brig Jen Mohd Fauzi berkata, pangkalan TUDM berkenaan kini lebih banyak menganjurkan aktiviti bukan sahaja untuk anggota pasukan malah pihaknya juga turut membabitkan komuniti setempat.

“Usaha ini dilakukan bagi merapatkan hubungan antara anggota pasukan dengan penduduk setempat melalui kegiatan berjiwa rakyat,” katanya.