Halaman

06 December 2011

Kerajaan negeri seia sekata dengan Pusat

Oleh; Esah Abdullah

Setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan Skim Gaji Minima (SGM) kepada kakitangan Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan sedia mematuhi dan mengikuti sekiranya kerajaan pusat melaksanakannya.

Menteri Besar berkata demikian ketika menjawab soalan lisan YB Haji Abdul Wahid Endut (Pas Batu Buruk) di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menjawab soalan tambahan dari wakil yang sama, apakah keputusan berkenaan kerana syaikat GLC di negeri ini mengalami kerugian atau banyak yang telah ditutup sambil memberi contoh kerajaan Selangor.

Menteri Besar mengulangi pendirian kerajaan akan mengikut keputusan yang dibuat kerajaan pusat dan Pas tidak perlu membuat perbandingan dengan Selangor negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR).

“Kita kerajaan Barisan Nasional (BN) seia dan sekata dengan Pusat, jadi apa yang Pusat buat kita akan ikut dan Pas perlu telus kalau nak kritik, janganlah tunjuk yang hebat saja yang tak hebat sorok, macam di Kelantan buat ke tidak,” katanya.

Dakwaan kakitangan kerajaan di negeri ini ramai yang berpendapatan bawah RM1,000 turut disangkal oleh Menteri Besar dengan memberi contoh gaji seorang driver RM1.200 sebulan campur Cola (RM1,500) belum masuk elaun lain lagi.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya mengingatkan wakil Pas, jangan cuba berbohong dalam dewan yang mulia ini.