Halaman

09 December 2011

311 mangsa banjir daerah Besut mendapat Wang Ehsan

Oleh: Mohammad Ishak



KEPERITAN menghadapi bencana banjir yang dialami penduduk daerah Besut mendapat perhatian Kerajaan Pusat apabila mereka diberi bantuan Wang Ehsan bagi membantu meringankan beban yang dialami mereka.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab terhadap bencana alam mengambil usaha segera memberi bantuan kepada 311 mangsa banjir di daerah Besut yang menghadapi bencana berkenanan minggu lalu.

Mangsa terbabit ialah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Jertih, Kota Putera dan Jabi diberikan wang tunai RM500 kepada ketua keluarga dan mereka yang berpindah ke pusat pemindahan banjir yang disediakan pihak berkuasa.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara menyampaikan bantuan berkenaan kepada mangsa terbabit di Dewan Terbuka, Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut di Kampung Cegar Batang, Hulu Besut.Hadir sama ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Nazri berkata, wang berkenaan diberikan tanpa mengira fahaman politik kerana ia satu tanggungjawab kerajaan pusat yang sentiasa prihatin terhadap seluruh rakyat negara ini.
Katanya, pemberian RM500 kepada ketua keluarga hanya diberikan sekali dalam tempoh bencana bagi tahun berkenaan bertujuan membantu mangsa menyediakan keperluan harian.

Menurutnya, mangsa banjir daerah Besut adalah yang pertama mendapat bantuan berkenaan kerana pihak berkuasa dapat mengemukakan senarai nama mangsa lebih cepat berbanding daerah lain.

Sementara itu, Nawi berkata, penerima bantuan berkenaan bukan sahaja dikalangan penyokong Umno malah ahli pembangkang terutama PAS juga mendapat manfaat daripada pelaksanaan bantuan Kerajaan Pusat itu.