Halaman

06 November 2011

Usul Kota Putera dijadikan nama ibu daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak


Majlis Kebudayaan Daerah Besut (MKDB), mencadangkan nama “Kota Putera” dijadikan sebagai Ibu Daerah Besut bagi menggantikan Kampung Raja yang diguna pakai sekarang.

Yang Dipertua MKDB, Yusof Kassim berkata, cadangan itu diputuskan selepas usul mengenainya diluluskan tanpa bahas pada mesyuarat agung tahunan ke 32 badan itu yang berlangsung di Balai Budaya Kampung Raja, Besut, semalam.

Katanya, nama Kampung Raja yang digunakan sejak dahulu sudah tidak releven lagi kerana menampakkan ciri-ciri ke kampungan sedangkan ia sebenarnya sudah bertaraf sebuah Bandar Baru.

Bagaimanapun,katanya Kampung Raja yang dijadikan pusat pentadbiran daerah sejak zaman British masih boleh diguna pakai sebagai Kampung Tradisional untuk kawasan sekitarnya sahaja.

Mengambil contoh Kampung Buluh asalnya pusat pentadbiran bagi daerah Setiu, kenapa tidak nama Kota Putera yang lebih komersil dan dijadikan Ibu Daerah Besut yang baru.

“Malah Kota Putera kini lebih sinonim dengan panggilan rasmi apabila kawasan berkenaan sudah diwartakan sebagai salah satu Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Yusof seorang aktivis budaya dan politik berkata, sudah sampai masanya pigak terbabit khususnya Kerajaan Negeri mewartakan Kota Putera sebagai pusat pentadbiran daerah dan Ibu Daerah Besut.

Beliau mendakwa, genarasi muda masa kini sebenarnya tidak tahu Kampung Raja sebagai ibu daerah ini, sebaliknya jika bertanyakan mereka semua menjawab “Bandar Jertih” adalah ibu bagi daerah Besut.

Sehubungan itu, beliau akan mengemukakan usul berkenaan kepada pihak berwajib untuk dipertimbangkan demi bagi kesejahteraan rakyat dan pembangunan selaras dengan slogan Kerajaan Negeri “Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran”.