Halaman

28 November 2011

Sirkit Match Racing Malaysia Februari 2012

Oleh FAUZI MOHD

Buat julung kalinya, Persatuan Perlayaran Malaysia (MYA) bakal bekerjasama dengan Tbest Events Sdn. Bhd. (Tbest) bagi menganjurkan Sirkit Match Racing Malaysia dalam usaha melahirkan lebih ramai pelayar terbaik negara.

Kerjasama itu dimeterai melalui satu penjanjian menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang turut disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Pulau Duyong, petang semalam.

Sirkit yang bakal dianjurkan pada Februari tahun depan itu akan melibatkan empat lokasi iaitu perairan Lumut, Klang dan Langkawi manakala berakhir di Pulau Duyung.

Menurut Menteri Besar, ia merupakan satu penganjuran yang penting dalam sukan pelayaran negara apabila bakal memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk melatih kemampuan mereka.

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik penganjuran berkenaan dan menyokong sepenuhnya jika lebih banyak acara seumpamanya diadakan pada masa akan datang.

"Kita mempunyai kemudahan bertaraf dunia di sini dan rugi jika tiada penganjuran seperti ini diadakan pada waktu lain.

Saya berharap penganjur di peringkat antarabangsa juga sudi menjadikan Pulau Duying sebagai salah satu lokasi sirkut mereka," katanya.

Dalam MoU itu, Tbest diwakili oleh Pengurus Operasi Senior, Shafique Iqbal manakala MYA diwakili oleh Lukman Abu Bakar.

Turut hadir, Pengerusi Tbest, Tan Sri Sabaruddin Chik dan Presiden MYA, Kamaruzzaman Abu Kassim.