Halaman

16 November 2011

Penjawat awam perlu bersedia hadapi saingan global

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sektor perkhidmatan awam di negara ini berdepan dengan persaingan global yang menuntut mereka meningkatkan mutu perkhidmatan dalam memberi khidmat terbaik kepada pelanggan.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mohamad Zabidi Zainal, berkata penjawat awam akan ketinggalan jika mereka tidak berusaha menghadapi persaingan tersebut, khususnya di bidang teknologi.

“Penjawat awam tidak perlu menunggu arahan daripada pihak pengurusan bagi meningkatkan mutu kerja dan inovasi di jabatan masing-masing, jika ia mampu membantu menambah kecekapan dan prestasi jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2011 di Taman Tamadun Islam, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pengarah JKM, Haji Hadzir Md Zain; pengarah-pengarah JKM seluruh negara dan pegawai-pegawai kanan JKM.



Majlis itu menyaksikan pelancaran empat program yang begitu signifikan kepada JKM iaitu pelancaran Pelan Transformasi JKM, Kempen Mesra Pelanggan JKM, Pensijilian Semula MS ISO 9001:2008 dan Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi JKM.

Idea transformasi JKM bermula daripada kesedaran bahawa jabatan itu merupakan sebuah agensi penting kepada rakyat, perlu sentiasa meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatannya kepada pelanggan agar dapat memenuhi keperluan rakyat.



Dato’ Mohamad Zabidi berharap agar semua penjawat awam, khususnya kakitangan JKM supaya menitikberatkan kehendak pelanggan dan melakukan yang terbaik untuk kepuasan mereka.



Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang yang dinobatkan sebagai johan keseluruhan Anugerah Inovasi JKM 2011, meraih hadiah wang tunai RM3,000 diiringi piala dan sijil.