Halaman

11 November 2011

MB ‘turun padang’ di DUN Bukit Tunggal

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan meneruskan Program Turun Padang (PTP) di kawasan Dewan Udangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, esok (12 November), bagi menyelami dan meninjau sendiri pelbagai permasalahan yang dihadapi penduduk kawasan tersebut secara lebih dekat.

Program tradisi pemimpin Barisan Nasional (BN) itu dimulakan dengan Menteri Besar yang diiringi pemimpin BN Parlimen Kuala Nerus dan DUN Bukit Tunggal menghadiri sarapan pagi bersama-sama penduduk tempatan di Pangsapuri Mampu Milik Pulau Duyong, kira-kira jam 8.30 pagi.

Selesai beramah mesra dengan penduduk di situ, Dato’ Seri Haji Ahmad akan melawat ke rumah warga miskin e-Kasih, Puan Fatimah A. Bakar dan menyampaikan bantuan.

Kira-kira jam 10 pagi, Menteri Besar dan rombongan akan melawat Peti Undi Bukit Tumbuh dan menghadiri jamuan rakyat serta solat Zuhur di Masjid Kampung Bukit Tumbuh.

Pada jam 2.30 petang, beliau dijadualkan melawat Peti Undi Bukit Tunggal dan merasmikan balai raya serta gelanggang futsal di Kampung Bukit Tunggal.

Selepas itu, beliau akan melawat Peti Undi Pengkalan Arang dan menunaikan solat Asar bersama-sama penduduk kampung di Masjid Kampung Pengkalan Arang.

Pada jam 5 petang, Menteri Besar akan melawat Peti Undi Batu Enam dan menyertai program mengecat rumah penduduk miskin di Kampung Tuan Mandak.

Selepas itu, beliau akan menghadiri sukan rakyat DUN Bukit Tunggal di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, sebelum menunai solat Maghrib di Masjid Kampung Gong Kijang.

Menteri Besar akan menghadiri majlis penutup PTP bagi DUN Bukit Tunggal iaitu ceramah isu-isu semasa dan majlis Pelancaran Geng 13 DUN Bukit Tunggal di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal.