Halaman

24 November 2011

Mangsa banjir meningkat, MB turun padang

Oleh FAUZI MOHD


Jumlah mangsa banjir di empat daerah di Terengganu terus meningkat kepada 2,529 mangsa daripada 642 keluarga dan dipindahkan ke 40 pusat pemindahan sehingga pukul 12 tengah malam tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu berkata, dua mangsa banjir pertama dari Daerah Marang telah ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Temala.

Daripada jumlah itu, Daerah Setiu paling teruk terjejas dengan 1,510 mangsa banjir dari 392 keluarga diikuti Besut seramai 801 dengan 190 keluarga dan Hulu Terengganu berjumlah 211 orang daripada 59 keluarga.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dalam lawatannya semalam ke pusat-pusat pemindahan telibat menasihatkan penduduk di semua daerah yang terlibat dengan banjir dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarah berpindah agar tidak berdepan dengan risiko bahaya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melengah-lengahkan untuk berpindah kerana dikhuatiri usaha menyelamatkan penduduk menjadi sukar terutama waktu malam.

“Jika waktu malam baru nak pindah, kita khuatir ia akan membahayakan nyawa semua pihak, termasuk pasukan penyelamat.



“Mereka (penyelamat) biasanya sukar untuk memindahkan penduduk waktu malam kerana terpaksa menggunakan bot dan tidak tahu di mana ada telaga, pagar, rumah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita semalam.

Pusat pemindahan di Dewan Kampung Langkap menjadi lokasi pertama lawatan rombongan Menteri Besar diikuti Surau Pekan Sari, Bandar Permaisuri, Balairaya Kampung Tasek, Surau Kampung Permaisuri dan Surau Kampung Nyatoh.

Turut serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB. Asha’ari Idris, ADUN Permaisuri, YB. Abdul Halim Jusoh dan Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang.



Di Besut, Dato’ Seri Ahmad dan rombongan menaiki trak sejauh kira-kira 12 kilometer menuju ke pusat pemindahan di Masjid Kampung La dan Sekolah Kebangsaan Kampung La kerana tiga jalan ke lokasi berkenaan ditutup untuk kenderaan ringan.

Memandangkan paras air terlalu tinggi, Menteri Besar terpaksa menaiki jentera berat untuk menuju ke dua pusat pemindahan itu serta sempat ke Kampung Keruak untuk menemui mangsa banjir di pusat berkenaan.



Tinjauan yang berakhir kira-kira pukul 9 malam itu turut disertai ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad; ADUN Jabi, Ramlan Ali dan ADUN Kuala Besut, Dr. A.Rahman Mokhtar dan Pegawai Dearah Besut, A. Rahim Jusoh.