Halaman

06 November 2011

Maidam bentuk tiga jawatankuasa pengkaji resolusi

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan berbincang mengenai 20 resolusi yang telah diputuskan pada mesyuarat Majlis Agama Islam Malaysia yang bersidang baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, Maidam negeri telah membentuk tiga jawatankuasa pengkaji revolusi sebelum mengemukakan kepada pihak urusetia iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa di peringkat negeri baru-baru ini yang akan meneliti secara mendalam 20 resolusi berkenaan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Menurutnya, tiga jawatankuasa kecil berkenaan merangkumi tiga perkara iaitu pendidikan, ekonomi dan undang-undang untuk duduk berbincang serta mengkaji kerasionalan resolusi.

Beliau menambah pihak urusetia memberi tempoh hingga 30 November depan bagi setiap negeri menghantar rumusan dan keputusan yang dicapai di peringkat masing-masing.

“Pihak Jakim akan membuat keputusan untuk menerima pakai sepenuhnya atau sebahagian resolusi dalam mesyuarat jawatankuasa khas pelaksanaan yang diputuskan bersama,” katanya.