Halaman

15 November 2011

Lebih ramai pemain sepak takraw wanita di Terengganu

Terengganu bakal melahirkan ramai pemain sepak takraw wanita untuk negara dalam tempoh beberapa tahun lagi apabila Majlis Sukan Negeri (MSN) mewujudkan program tunas harapan.

Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT), Mohd Shapian Ali berkata Sekolah Menengah Bukit Sawa, Marang dipilih untuk pembangunan sepak takraw wanita.

"Saya difahamkan MSN akan menjalankan program tersebut dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Mohd Shapian berkata, MSN mengadakan program berkenaan di Sekolah Menengah Bukit Sawa kerana badan itu mendapati sekolah tersebut mempunyai ramai pelajar wanita yang berminat dalam sukan sepak takraw.

“Kejohanan Piala Presiden PSTNT sebahagian besarnya telah disertai pelajar wanita sekolah tersebut,” ujar beliau.
Beliau berkata, MSN melantik seorang guru di sekolah itu untuk menjadi jurulatih dalam program tersebut.

Mengulas lanjut beliau berkata pemain-pemain wanita yang keluar dari sekolah itu nanti akan diberikan pendedahan oleh PSTNT bagi memantapkan lagi skil permainan mereka.

Katanya pemain-pemain itu juga mungkin akan dibimbing oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman supaya mereka boleh mewakili negara pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shapian berkata PSTNT akan menghantar pasukan sepak takraw Sukma Terengganu berlatih dengan pasukan tentera laut Thailand di Bangkok Januari tahun depan.

Beliau berkata PSTNT memilih pasukan tentera laut Thailand untuk latihan pasukan Sukma kerana hampir keseluruhan pemain sepak takraw negara itu bekerja dalam pasukan tentera laut.

Katanya pasukan sepak takraw Sukma Terengganu dilatih oleh bekas jurulatih sepaktakraw kebangsaan Thailand, Vitayabontal.