Halaman

24 November 2011

Kerajaan sedia RM10 juta bina Kem Pengangkap Tengku Muhammad Ismail


Oleh FAUZI MOHD

Sejumlah RM10 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membina Kem Pengangkap Tengku Muhamad Ismail, Telaga Batin, Kuala Terengganu.

Menteri Besar , Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pelbagai kemudahan disediakan di kem itu untuk program pengakap yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

"Kita akan lihat kemudahan-kemudahan lain yang perlu ditambah dari semasa ke semasa bagi keselesaan pengakap mengadakan perhimpunan di kem itu," katanya.



Beliau berkata demikian pada majlis Jamuan Negeri sempena Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu di Seri Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua Pesuruhjaya Pengangkap Malaysia, Dato’ Khairuddin Mukmin.

Jambori itu yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Jumaat lepas, menyaksikan 21 buah negara mengambil bahagian melibatkan 10,800 peserta.




Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di Telaga Batin itu memiliki kemudahan lengkap dan terbaik dengan 65 buah bilik biasa dan 24 bilik tetamu kehormat serta mempunyai kawasan lapang untuk perkhemahan.

Pada majlis itu Menteri Besar turut menerima tajaan daripada syarikat pengedar kenderaan mewah BMW, Quil Automobiles Sdn Bhd telah menaja 60 buah kereta BMW serta wang tunai RM50,000 untuk jambori itu.

Sebuah lagi syarikat iaitu Nexedge Technology Sdn Bhd pengedar rasmi perlatan telekomunikasi jenama Kenwood telah menyumbangkan peralatan Radio Telekomunikasi Kenwood bernilai RM50,000.