Halaman

05 November 2011

Kerajaan BN jaga kebajikan rakyat: Apa lagi yang rakyat mahu?

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jika dihalusi, begitu banyak sekali bantuan disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membantu rakyat negeri ini, terutama sekali di bidang pendidikan.

Sebagai bukti, Kerajaan Terengganu telah mengeluarkan perbelanjaan RM8.48 juta kepada 8,486 pelajar tingkatan enam atas yang diagih melalui Program Bantuan Pendidikan sejak ia diperkenalkan pada 2008.

Bantuan RM1,000 diberi kepada setiap pelajar sebagai hadiah galakan dan bantuan bagi membeli keperluan pembelajaran sebelum mereka menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Tahun ini, 2,156 pelajar dari 51 sekolah yang akan menduduki STPM tidak lama lagi menerima bantuan RM1,000 melibatkan keseluruhan kos RM2.15 juta.

Bagi bantuan pakaian seragam untuk pelajar sekolah menengah dan rendah seluruh negeri tahun ini pula, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM20 juta.

Seramai 109,216 pelajar dari keluarga berpendapatan RM1,200 ke bawah, layak menerima sumbangan di mana setiap orang diberi RM200 bagi membeli pakaian sekolah.

Bulan depan, semua ibu bapa yang ada anak sedang belajar di sekolah rendah dan menengah bantuan penuh kerajaan, akan diberi bantuan RM100 seorang.

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2012, pada 7 Oktober lalu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, mengumumkan bantuan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 di seluruh negara.

Beliau turut mengumumkan pemberian baucer buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

Selain itu, Kerajaan Terengganu juga menyediakan bantuan persediaan pelajaran bagi semua pelajar yang melanjutkan pelajaran ke asrama penuh, pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua peperiksaan awam dari Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan STPM juga diberi imbuhan oleh Yayasan Terengganu (YT).

Manakala 150 pelajar terbaik dalam peperiksaan awam akan diberi biasiswa dan dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di bidang perubatan.

Terlalu banyak kemudahan dan bantuan yang disediakan Kerajaan BN bagi memastikan penduduk negeri ini mendapat kemudahan terbaik dalam pendidikan.

Tidak cukup lagikah kebajikan yang disediakan Kerajaan Negeri bagi membela nasib rakyat Terengganu?

Adakah Pas dan Pakatan Rakyat mampu menyediakan kemudahan yang lebih baik daripada Kerajaan BN jika mereka diberi peluang memerintah negeri ini kerana sejarah lalu membuktikan mereka tidak mampu berbuat demikian.

Tepuk dada, tanya selera.