Halaman

09 November 2011

Jangan politikkan bola sepak - MB

Oleh; Esah Abdullah

Ada ‘tangan ghaib’ disebalik tindakan kumpulan penyokong tegar bola sepak yang membuat perhimpunan protes berhubung pengunduran jurulatih Terengganu Haji Irfan Bakti Abu Salim daripada memimpin pasukan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ada orang yang cuba mempolitikkan isu ini dan sengaja mengeruhkan keadaan.

“Jangan cuba mempolitikkan bola sepak serta menjatuhkan imej orang-orang tertentu dalam PBSNT,” katanya ketika diminta mengulas tindakan kumpulan berkenaan yang meminta campur tangan Menteri Besar dalam isu berkaitan.

Katanya beliau tidak perlu campur tangan dalam isu ini, kerana PBSNT diuruskan oleh barisan jawatankuasa yang dilantik melalui mesyuarat agung.

Tambahnya, tahun ini amat cemerlang bagi bola sepak Terengganu, muncul juara Piala FA, naib juara Piala Malaysia dan naib juara Piala Liga ia merupakan satu kejayaan hebat.

“Saya bangga kerana dua pasukan kita berjaya masuk ke pertandingan separuh akhir Piala Malaysia dan ini tidak berlaku bagi negeri lain, kalah menang adat permainan dan peminat tidak perlu letakkan kesalahan kepada pihak pengurusan,” katanya.

Katanya, penghijrahan jurulatih perkara biasa dalam bola sepak, itu hak mereka, pemain juga jika dapat tawaran lebih baik mereka akan pergi.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya mengakui terkilan dengan penyokong tegar bola sepak yang mencetuskan suasana kurang baik ini serta tindakan sesetengah pihak yang ambil kesempatan kibar bendera parti dalam stadium ketika perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini,” katanya.